Tuesday 30 October 2012

Susunan Kandungan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia

Standard Kurikulum

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal dengan memberikan penekanan pada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu diketahui dan dapat dilakukan oleh murid. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran ini berpaksikan Kemahiran Bahasa dan Sistem Bahasa yang disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.

Standard ini digubal dalam bentuk pernyataan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid sekolah kebangsaan. Standard ini dipersembahkan dalam bentuk modular yang dibahagikan kepada bahagian dan unit yang mengandungi elemen pengetahuan, kemahiran serta nilai murni yang perlu dikuasai oleh murid. 

1. Standard Kandungan
Pernyataan tentang bidang ilmu yang patut diketahui dan dapat dilakukan oleh murid dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai murni.

2.  Standard Pembelajaran
Pernyataan tentang penetapan kriteria untuk memastikan kualiti pembelajaran dan pencapaian murid bagi setiap standard kandungan.


Kemahiran Bahasa

Kemahiran, bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

1. Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merujuk keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan respons.

2.  Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan dan bertatasusila. Penekanan juga diberikan pada penggunaan tatabahasa yang betul.

3.  Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Di samping itu, murid juga berupaya menghayati teks yang dibaca.

4.  Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk keupayaan murid menulis perkataan dan melahirkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui. Penekanan perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan berunsur pengetahuan dan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa ini diperoleh melalui situasi dan konteks dalam pelbagai bahan prosa, puisi dan grafik.


Aspek Seni Bahasa

Aspek seni bahasa merujuk keupayaan murid memahami, mengungkap dan menghargai bahasa yang indah melalui pembelajaran yang menyeronokkan secara didik hibur. Murid memperoleh bahasa yang indah secara didik hibur daripada teknik nyanyian, bercerita, berlakon dan berpuisi. Seni bahasa juga menampakkan keindahan bahasa dari segi pembentukan ayat yang menggunakan simile, peribahasa, bahasa kiasan dan personifikasi yang terdapat dalam puisi dan prosa kreatif. Idea yang kreatif dapat dilahirkan oleh murid melalui lisan dan penulisan. 


Aspek Tatabahasa

Aspek tatabahasa merujuk keupayaan murid menggunakan tatabahasa dengan betul dan tepat dalam konteks yang diajarkan secara terancang.

Sunday 28 October 2012

Simpulan Bahasa Tahun 2

1. Alas Perut
    Makna : Makan sedikit untuk menahan lapar

2. Ambil Berat
    Makna : Memberi perhatian

3. Ambil Hati
    Makna : Menjaga perasaan

4. Anak Angkat
    Makna : Anak yang dipelihara seperti anak sendiri

5. Anak Buah
    Makna : Anak saudara/orang di bawah kuasanya

6. Anak Kandung
    Makna : Anak sendiri

7. Anak Tiri
    Makna : Anak suami atau isteri daripada perkahwinan terdahulu

8. Kaki Lima
    Makna : Kawasan laluan di hadapan bangunan

9. Kepala Batu/Keras Kepala
    Makna : Degil

10. Keras Hati
      Makna : Tidak mahu mengalah

11. Mandi Kerbau
      Makna : Mandi tidak bersih

12. Mandi Peluh
      Makna : Bekerja bersungguh-sungguh

13. Minta Diri
      Makna : Meminta izin untuk beredar

14. Mulut Murai/Banyak Mulut
      Makna : Orang yang suka bercakap banyak

15. Murah Hati
      Makna : Tidak kedekut

16. Otak Cair
      Makna : Cerdik

17. Sakit Hati
      Makna : Rasa marah

18. Sagu Hati
      Makna : Hadiah atau ganjaran

19. Tangkai Jering
      Makna : Sangat kedekut

20. Ulat Buku
      Makna : Suka membaca buku

Friday 26 October 2012

Salam Aidiladha

Assalammualaikum,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua warga UPSI yang beragama Islam khususnya PPG/PJJ KOHORT 3.

Monday 15 October 2012

Standard Prestasi

KERANGKA STANDARD PRESTASI

Band : 1
Standard : TAHU
    
Band : 2          
Standard : TAHU DAN FAHAM
    
Band : 3          
Standard : TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT

Band : 4          
Standard : TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB
    
Band : 5          
Standard : TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB TERPUJI
    
Band : 6          
Standard : TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB MITHALI


TAFSIRAN BAND

Band : 1
Pernyataan Band : TAHU
Tafsiran : Murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi respons terhadap perkara yang asas.

Band : 2 
Pernyataan Band : TAHU  DAN FAHAM 
Tafsiran : Murid menunjukkan  kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari.

Band : 3 
Pernyataan Band : TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT 
Tafsiran : Murid menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi.

Band : 4
Pernyataan Band : TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB
Tafsiran : Murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, iaitu mengikut prosedur atau secara sistematik.

Band : 5
Pernyataan Band : TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB TERPUJI
Tafsiran : Murid melaksanakan sesuatu kemahiran pada situasi baru, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif.

Band : 6
Pernyataan Band : TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB MITHALI
Tafsiran : Murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif, mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan menjadi contoh secara tekal.

Friday 12 October 2012

Tugasan 3 : Pembangunan Blog P&P (30%)


Tarikh penilaian akhir pada  14 Disember 2012

Blog anda perlu aktif dan dihantar pada Tapak Tugasan MyGuru3 pada  15 November 2012

Secara individu, pelajar dikehendaki membina blog Pengajaran & Pembelajaran bagi satu topik pengajaran yang dipilih berdasarkan sukatan pelajaran dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Syarat berikut perlu dipatuhi:
1.         Pelajar boleh menggunakan platform Blogspot (Blogger) atau Wordpress.
2.         Pilihan matapelajaran hendaklah berdasarkan mata pelajaran utama yang ditugaskan di sekolah.
3.         Pastikan nama, foto pemilik blog, nombor matrik dan tajuk blog diletakkan di muka hadapan blog. Blog yang dibangunkan hendaklah aktif dan sentiasa dikemaskini sebelum tarikh akhir penilaian tugasan blog.
4.         Blog perlu mengandungi perkara-perkara berikut:
  • Bahan pembelajaran seperti nota, soalan latihan, aktiviti di dalam kelas dan sebagainya.
  • Gambar
  • Audio
  • Video
  • Libatkan pelajar, ibubapa dan rakan guru yang lain untuk memberi komen pada kandungan yang dipaparkan
  • Sediakan pautan kepada laman sosial dan repositori bahan pengajaran seperti Facebook, Scribd, bahan Powerpoint, Prezi dan mana-mana format yang sesuai.
5.         Tugasan blog hendaklah dihantar melalui Tapak Tugasan 3 dalam Myguru3.

Markah bagi tugasan ini diberikan berdasarkan kriteria berikut:

KRITERIA
MARKAH
Isi kandungan blog serta kualiti penyampaian
15%
Senireka blog dan kreativiti
10%
Pandangan dan komen daripada pelawat blog
5%
JUMLAH
30
 

Wednesday 10 October 2012

Tugasan 2

Pembudayaan ICT ialah persembahan multimedia tentang aktiviti yang dilaksanakan dalam persekitaran kerja anda. Contohnya seperti berikut :

1. Seorang guru :

a) membudayakan/menggunakan ICT dalam pengajaran, oleh yang demikian anda boleh menggunakan ICT untuk menyediakan ABM yang menarik untuk mata pelajaran yang anda ajar di sekolah.

ATAUPUN

b) membudayakan ICT dengan membangunkan satu persembahan multimedia untuk aktiviti, ceramah atau ko-kurikulum, kursus dalaman dan sebagainya yang berkaitan dengan persekitaran sekolah. Contohnya seorang guru disiplin boleh membangunkan satu persembahan multimedia tentang buli untuk dibentangkan kepada para pelajar.

2. Seorang pegawai di PPD atau pejabat pelajaran :

a) membudayakannya/menggunakan ICT untuk menyediakan pembentangan tentang sesuatu perkara/topik.


PERHATIAN

1. Bilangan slaid adalah di antara 10-15 slaid sahaja.
2. Kandungan persembahan adalah seperti berikut :

  • Teks
  • Grafik
  • Jadual
  • Graf
  • Animasi
  • Audio
  • Pautan antara slaid persembahan (pautan dalaman)
  • Pautan antara slaid persembahan dengan dokumen lain (pautan luaran)
Harap penerangan ini membantu,
Puan Saira

Sunday 7 October 2012

Tugasan 1A & 1B : Perbincangan Forum (10%)

Bincangkan penggunaan ICT di sekolah dalam proses P&P dan pentadbiran di sekolah, Perbincangan ini boleh merangkumi :

  • Penggunaan ICT di sekolah pada masa kini.
  • Perancangan penggunaan ICT pada masa akan datang oleh kementerian atau sekolah anda.
  • Cadangan anda selain daripada di atas yang boleh dilaksanakan untuk menambahbaik proses P&P atau pun pentadbiran di sekolah. Ianya boleh terdiri dari cadangan anda sendiri ataupun melalui sumber bacaan (jika melalui sumber bacaan sertakan rujukan yang berkaitan).
Tarikh penilaian Tugasan 1A :
          Forum mula dibuka : 1 Oktober 2012
          Forum ditutup : 19 Oktober 2012

Tarikh penilaian Tugasan 1B : (akan diberi kemudian)
          Forum mula dibuka : 5 November 2012
          Forum ditutup : 23 November 2012

Secara individu, pelajar dikehendaki terlibat dalam perbincangan forum yang diaktifkan oleh pensyarah e-learning masing-masing. Markah berjumlah 5% akan diberikan bagi setiap tajuk forum berdasarkan kekerapan dan kupasan positif pelajar terhadap perbincangan yang diberikan.