Sunday 25 November 2012

Aku Sebuah Basikal

      Aku sebuah basikal. Nama aku Gagah. Tubuh aku berwarna hitam berbelang putih. Aku dan kawan-kawanku dipamerkan di Kedai Basikal Ria di Bandar Saujana.
      Pada suatu hari, datang seorang lelaki ke Kedai Basikal Ria. Lelaki itu hendak membeli basikal untuk anak lelakinya. Lelaki itu membelek-belek tubuhku dengan teliti. Akhirnya, lelaki itu bersetuju untuk membeli diriku. Apabila pulang ke rumah, aku dihadiahkan kepada anak lelakinya. Tuan baru aku bernama Danny. Aku berasa gembira kerana Danny menunggang aku dengan cermat.

Jawab soalan-soalan di bawah.

1. Apakah yang kamu faham tentang petikan yang dibaca?
    _________________________________________________________________

2. Apakah warna tubuh "aku"?
    _________________________________________________________________

3. Di manakah "aku" dipamerkan?
    _________________________________________________________________

4. Siapakah tuan baru "aku"?
    _________________________________________________________________

5. Bagaimanakah Danny menunggang "aku"?
    _________________________________________________________________


Friday 23 November 2012

Hari Sukan

      Hari ini hari Sabtu. Sekolah Dayana mengadakan Hari Sukan sekolah. Semua guru dan murid berkumpul di padang sekolah. Mereka memakai baju sukan mengikut rumah sukan masing-masing. Dayana mewakili Rumah Merah. Mereka berbaris di tengah padang mengikut rumah sukan mereka.
      Dayana menyertai acara lumba lari. Dayana berlari dengan pantas. Kawan-kawannya dari Rumah Merah bertepuk tangan dan bersorak. Mereka memberi sokongan kepada Dayana.
      Dayana tiba dahulu di garisan penamat. Dayana berjaya memenangi acara lumba lari. Guru besar mengalungkan pingat ke leher Dayana. Dayana berasa sangat gembira.

Jawab soalan-soalan berikut.

1. Bilakah Hari Sukan sekolah Dayana diadakan?
    _______________________________________

2. Apakah warna rumah sukan Dayana?
    _______________________________________

3. Di manakah semua guru dan murid berkumpul?
    ________________________________________

4. Apakah acara yang disertai oleh Dayana?
    ________________________________________

5. Siapakah yang bertepuk tangan dan bersorak?
    ________________________________________

6. Apakah perasaan Dayana apabila memenangi acara itu?
    _____________________________________________

Wednesday 21 November 2012

Petikan Pemahaman 3

A. Baca petikan di bawah. Kemudian, jawab soalan-soalan berikut. 

      Pada suatu hari, Kersani membuat keputusan untuk mencari buah ajaib itu. Dia kemudiannya membina sebuah kapal layar dan belayar menyeberangi lautan. Pelayaran itu sangat sukar tetapi Kersani tetap tidak berputus asa. Walaupun telah beberapa lama belayar, namun pokok yang berbuah ajaib itu belum juga kelihatan. Akhirnya, pada suatu hari, setelah hampir tiga bulan belayar, tiba-tiba kapal Kersani termasuk ke dalam pusaran air yang sangat kuat. Kapalnya berpusing-pusing dengan ligat sekali.

1. Apakah yang hendak dicari oleh Kersani?
    ____________________________________________

2. Berapa lamakah Kersani belayar?
    ____________________________________________

3. Mengapakah kapal Kersani berpusing ligat sekali?
    ___________________________________________________

4. Senaraikan 3 perkataan berimbuhan.
    i) _____________________
    ii) _____________________
    iii) _____________________


B. Baca cerita di bawah dan jawab soalan-soalan berikut.

      Hari ini hari Sabtu. Ah Keng tidak pergi ke sekolah. Ah Keng membantu ibunya mengemas rumah. Ketika sedang mengelap lantai, Ah Keng mendengar bunyi hon. Bunyi itu diikuti laungan seorang lelaki yang berkata, "Surat khabar lama! Surat khabar lama!"
      "Ibu, orang itu menjual surat khabar lamakah?" tanya Ah Keng kepada ibunya.
      "Tidak. Dia bukan menjual surat khabar lama. Dia membeli surat khabar lama," jawab ibu Ah Keng dengan lembut.
      "Dia membeli surat khabar lama?" Ah Keng bertanya lagi. Dia berasa hairan.
      "Ya, dia membeli surat khabar lama. Surat khabar lama itu akan diproses semula untuk dibuat kertas yang baru," jawab ibu Ah Keng sambil tersenyum.
      "Oh, begitu! Jadi, bolehlah kita menjual surat khabar lama yang berada di dalam stor kita," kata Ah Keng.
      Ibu Ah Keng mengangguk.

1. Mengapakah Ah Keng tidak pergi ke sekolah hari itu?
    _________________________________________________

2. Apakah yang dilakukan oleh Ah Keng di rumah?
    __________________________________________________

3. Bilakah Ah Keng mendengar bunyi hon?
    ___________________________________________________

4. Mengapakah lelaki itu membeli surat khabar lama?
    ____________________________________________________

5. Di manakah ibu Ah Keng menyimpan surat khabar lama?
    _____________________________________________________

Monday 19 November 2012

Latihan Imbuhan Awalan dan Akhiran

Gariskan kata berimbuhan yang betul.

1. Gopal sedang _________________ (memainkan / bermain / termain) bola di padang.
2. Puan Arifah sedang _________________ (dicuci / mencuci / pencuci) pakaiannya.
3. Semua _______________ (penonton / menonton / ditonton ) bertepuk tangan apabila persembahan teater di pentas itu tamat.
4. Pokok bunga itu ________________ (ditanam / menanam / tanamkan) oleh ibu.
5. Soo Lim amat ________________ (meminati / peminat / berminat) penyanyi itu sejak kecil lagi.
6. Walaupun kalah dalam pertandingan badminton itu, Julia tidak pernah _____________ (berputus / terputus) asa.
7. Ashraf telah ______________ ( dilantik / melantik / terlantik ) menjadi ketua pasukan bola baling di sekolahnya.
8. Sesiapa yang berminat menyertai _______________ (melawat / lawatan / dilawati) itu, sila beritahu guru kelas.

Saturday 17 November 2012

Petikan Pemahaman 2

Baca petikan di bawah. Kemudian, bulatkan jawapan yang betul.

      Sarah tinggal di Taman Permai. Pada hari Ahad yang lalu, Sarah dan keluarganya telah bergotong-royong membersihkan halaman rumah mereka.
      Ayah Sarah memotong rumput manakala abang Sarah menyapu daun-daun kering. Kakak Sarah yang bernama Sulli menyiram pokok bunga. Sarah dan adiknya, Sally pula mencuci longkang dan mengelap tingkap. Datuk Sarah sudah tua, dia hanya berehat di kerusi.
      Setelah siap mengemas ruang tamu, ibu dan nenek menyediakan makanan yang sedap untuk mereka. Mereka berasa sungguh gembira kerana halaman rumah mereka menjadi bersih, kemas dan cantik.

Soalan berdasarkan petikan : 

1. Di manakah Sarah tinggal?
A. Taman Permai
B. Taman Aman
C. Taman Sentosa

2. Bilakah mereka bergotong royong membersihkan halaman rumah?
A. Pada hari Ahad yang lalu
B. Pada hari Sabtu yang lalu
C. Pada hari Selasa yang lalu

3. Siapakah yang berehat di kerusi?
A. Nenek
B. Datuk
C. Ibu

4. Apakah yang dilakukan oleh Sarah dan Sally?
A. Memotong rumput dan menyapu daun-daun kering
B. Menyiram bunga dan memotong rumput
C. Mencuci longkang dan mengelap tingkap

5. Mengapakah mereka berasa gembira?
A. Kerana halaman rumah mereka kotor
B. Kerana halaman rumah mereka besar
C. Kerana halaman rumah mereka bersih, kemas dan cantik

Thursday 15 November 2012

Simpulan Bahasa

                        anak emas         anak saudara         anak kandung       anak tunggal      anak tiri  
                                    anak bongsu       anak sulung       anak angkat        anak buah

1. Anak yang pertama di dalam keluarga ialah ____________________
2. Anak kepada abang, kakak atau adik ialah _____________________
3. Anak yang disayangi ialah _________________
4. Anak yang hanya seorang dalam keluarga ialah __________________
5. Anak kepada suami atau isteri yang terdahulu ialah ___________________
6. Anak orang lain yang dijadikan anak sendiri ialah _________________
7. Anak sendiri dipanggil ________________
8. Anak terakhir dalam keluarga __________________
9. Sekumpulan orang yang berada di bawah jagaan seorang ketua ialah ________________

Tuesday 13 November 2012

Petikan Pemahaman 1


     Haikal kawan baik saya. Nama ibunya Azilah, dia seorang guru. Ibu Haikal seorang yang baik hati dan penyayang. Dia sentiasa menjaga Haikal dan keluarganya dengan penuh kasih sayang. Pada masa lapang, Haikal akan mendengar cerita daripada ibunya. Haikal sentiasa belajar bersungguh-sungguh kerana dia ingin menjadi orang yang pandai dan membalas jasa ibunya apabila dewasa.

Jawab soalan di bawah berdasarkan petikan di atas.

1. Siapakah nama ibu Haikal ?
    Nama ibu Haikal ialah ______________________________________

2. Apakah pekerjaan ibu Haikal ?
    Ibu Halim seorang _________________________________________

3. Bagaimanakah ibu Haikal menjaga Haikal dan keluarganya?
    Ibu Haikal sentiasa menjaga Haikal dan keluarganya dengan _____________________________
    ___________________________________________________________________________

4. Bilakah Haikal akan mendengar cerita daripada ibunya?
    ______________________________________ Haikal mendengar cerita daripada ibunya.

5. Mengapakah Haikal belajar bersungguh-sungguh?
    Haikal belajar bersungguh-sungguh kerana _________________________________________
    __________________________________________________________________________

Sunday 11 November 2012

Tabung Tasya

      Tasya hendak membuat tabung daripada bahan-bahan terbuang. Bahan-bahan yang digunakan oleh Tasya ialah balang kaca yang berpenutup, benang berwarna, butang, pemutar skru, tukul besi kecil, gam dan gunting.
      Mula-mula, Tasya membersihkan balang kosong dan lapkan dengan kain. Kemudian, Tasya membuat satu lubang pada penutup balang dengan pemutar skru dan tukul besi kecil untuk memasukkan syiling.
      Selepas itu, Tasya menyapukan gam pada permukaan botol dan lilitkan benang yang berwarna pada sekeliling balang kaca. Tasya juga menyapu gam pada penutup balang dan lilit benang mengelilinginya. Untuk hiasan, Tasya menggulung benang yang berlainan warna supaya membentuk muka dan telinga haiwan. Kemudian, Tasya melekatkannya pada balang.
      Akhir sekali, Tasya melekatkan dua biji butang pada atas muka haiwan untuk dijadikan matanya. Kini, tabung Tasya yang comel telah pun siap.

A : Jawab soalan-soalan yang berikut berdasarkan petikan Tabung Tasya.

1. Siapakah yang hendak membuat tabung daripada bahan-bahan terbuang?
    _____________________________________________________________________

2. Apakah bahan-bahan yang digunakan oleh Tasya untuk membuat tabung?
    _____________________________________________________________________

3. Bagaimanakah Tasya membuat lubang pada penutup balang?
    _____________________________________________________________________

4. Mengapakah Tasya membuat lubang pada penutup balang?
   ______________________________________________________________________

5. Apakah yang digunakan oleh Tasya untuk membuat mata pada hiasan tabungnya?
    ______________________________________________________________________

B. Baca pernyataan di bawah. Kemudian nomborkan pernyataan di bawah mengikut urutan yang betul.

(    ) Kemudian, Tasya membuat satu lubang pada penutup balang dengan pemutar skru dan tukul besi kecil untuk memasukkan syiling.

(    ) Bahan-bahan yang digunakan oleh Tasya ialah balang kaca yang berpenutup, benang berwarna, butang, pemutar skru, tukul besi kecil, gam dan gunting.

(    ) Tasya menggulung benang yang berlainan warna supaya membentuk muka dan telinga haiwan. Akhir sekali, Tasya melekatkan dua biji butang pada atas muka haiwan untuk dijadikan matanya.

(    ) Mula-mula, Tasya membersihkan balang kosong dan lapkan dengan kain.

(    ) Tasya menyapukan gam pada permukaan botol. Kemudian, dia melilitkan benang yang berwarna pada sekeliling balang kaca.

Friday 9 November 2012

Wau

          Wau ialah permainan tradisional yang terkenal pada zaman dahulu. Wau sangat terkenal di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Di negeri Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, wau dikenali sebagai layang-layang. Wau biasanya dimainkan selepas musim menuai padi. Antara jenis wau yang terkenal ialah wau bulan, wau kucing, wau jala budi dan wau merak.

Soalan Pemahaman :

A. Jawab soalan-soalan di bawah.

1. Di negeri manakah permainan wau sangat terkenal?
    __________________________________________________

2. Apakah nama yang diberikan kepada wau di negeri Selangor?
    __________________________________________________

3. Bilakah permainan wau akan dimainkan?
    __________________________________________________

4. Sebutkan kata hubung yang terdapat dalam teks di atas?
    __________________________________________________

B. Susun semula maklumat di bawah berdasarkan teks Wau.

(   ) Di negeri Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, wau dikenali sebagai layang-layang.
(   ) Wau biasanya dimainkan selepas musim menuai padi.
(   )  Wau ialah permainan tradisional yang terkenal pada zaman dahulu.
(   ) Antara jenis wau yang terkenal ialah wau bulan, wau kucing, wau jala budi dan wau merak.
(   ) Wau sangat terkenal di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Wednesday 7 November 2012

Uji Minda

Isi tempat kosong dengan simpulan bahasa yang sesuai.

1. Budak itu terpaksa _________________ kerana tiada wang untuk membeli makanan,
2. Idris menjadi ______________ setelah kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia.
3. Siti _________________ dari majlis hari jadi Mei Ling kerana hari sudah lewat.
4. Kok Leng ________________ semasa menjalani latihan bola sepak.
5. Tiada orang suka berkawan dengan budak yang ________________.
6. Siew Lan yang ________________ membongkar rahsia Lily kepada kawan-kawannya.
7. Encik Devi yang ________________ selalu mendermakan wang kepada rumah orang tua.
8. Ahmad _________________ kerana dia tidak suka mandi.
9. Pengemis itu tidur di ________________ kedai buku.
10. Orang yang _______________ itu telah ditangkap oleh polis.
11. Emak _______________ apabila mengetahui pasu kesayangannya telah dipecahkan oleh adik.
12. Azmi seorang _______________. Dia suka membaca buku pada masa lapang.

Monday 5 November 2012

Nilai Murni

Nilai murni merupakan perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan.

Terdapat 16 nilai-nilai murni yang telah diakui oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Antaranya ialah :
  1. Baik Hati                                                    9.    Kebersihan Fizikal & Mental
  2. Berdikari                                                  10.    Kejujuran 
  3. Hemah Tinggi                                           11.    Kerajinan
  4. Hormat Menghormati                               12.    Kerjasama 
  5. Kasih Sayang                                           13.    Kesedaran
  6. Keadilan                                                  14.    Kesyukuran                                  
  7. Kebebasan                                               15.   Rasional
  8. Keberanian                                               16.   Semangat Bermasyarakat
MAAFKAN KAMI

Saturday 3 November 2012

Kata Hubung

Kata Hubung digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan perkataan, atau frasa dengan frasa, atau ayat dengan ayat.

Contoh-contoh Kata Hubung ialah dan, kerana, sambil dan lalu.

1.   Aida menyapu sampah.     +     Ravi menyapu sampah.      =     Aida dan Ravi menyapu sampah.
                                           (dan)

2.   Sally sakit.     +     Sally terkena hujan.     =     Sally sakit kerana terkena hujan.
                      (kerana)

3.   Muthu termenung.     +      Muthu berfikir.      =      Muthu termenung sambil berfikir.
                                 (sambil)

4.   Zaid berlari.     +     Zaid menyepak bola.      =      Zaid lari lalu menyepak bola.
                         (lalu)


Thursday 1 November 2012

Kata Ganda

Kata ganda terbentuk daripada kata dasar yang diulang dua kali atau digandakan seluruhnya atau digandakan sebahagiannya sahaja.

Terbahagi kepada empat :
  1. Kata Ganda Seluruh
          Contoh : anai-anai, guru-guru, kanak-kanak dan sebagainya.

     2.  Kata Ganda Separa
          
          Contoh : bebola, sesiku, dedaun, pepohon dan sebagainya.

     3.   Kata Ganda Bersajak

              Contoh : bukit-bukau, lauk-pauk, kusut-masai dan sebagainya.

     4.   Kata Ganda Berimbuhan

           Contoh : tolong-menolong, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya.