Tuesday, 30 October 2012

Susunan Kandungan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia

Standard Kurikulum

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal dengan memberikan penekanan pada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu diketahui dan dapat dilakukan oleh murid. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran ini berpaksikan Kemahiran Bahasa dan Sistem Bahasa yang disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.

Standard ini digubal dalam bentuk pernyataan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid sekolah kebangsaan. Standard ini dipersembahkan dalam bentuk modular yang dibahagikan kepada bahagian dan unit yang mengandungi elemen pengetahuan, kemahiran serta nilai murni yang perlu dikuasai oleh murid. 

1. Standard Kandungan
Pernyataan tentang bidang ilmu yang patut diketahui dan dapat dilakukan oleh murid dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai murni.

2.  Standard Pembelajaran
Pernyataan tentang penetapan kriteria untuk memastikan kualiti pembelajaran dan pencapaian murid bagi setiap standard kandungan.


Kemahiran Bahasa

Kemahiran, bahasa meliputi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kemahiran bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

1. Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merujuk keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan respons.

2.  Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan dan bertatasusila. Penekanan juga diberikan pada penggunaan tatabahasa yang betul.

3.  Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Di samping itu, murid juga berupaya menghayati teks yang dibaca.

4.  Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk keupayaan murid menulis perkataan dan melahirkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui. Penekanan perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan berunsur pengetahuan dan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa ini diperoleh melalui situasi dan konteks dalam pelbagai bahan prosa, puisi dan grafik.


Aspek Seni Bahasa

Aspek seni bahasa merujuk keupayaan murid memahami, mengungkap dan menghargai bahasa yang indah melalui pembelajaran yang menyeronokkan secara didik hibur. Murid memperoleh bahasa yang indah secara didik hibur daripada teknik nyanyian, bercerita, berlakon dan berpuisi. Seni bahasa juga menampakkan keindahan bahasa dari segi pembentukan ayat yang menggunakan simile, peribahasa, bahasa kiasan dan personifikasi yang terdapat dalam puisi dan prosa kreatif. Idea yang kreatif dapat dilahirkan oleh murid melalui lisan dan penulisan. 


Aspek Tatabahasa

Aspek tatabahasa merujuk keupayaan murid menggunakan tatabahasa dengan betul dan tepat dalam konteks yang diajarkan secara terancang.

Sunday, 28 October 2012

Simpulan Bahasa Tahun 2

1. Alas Perut
    Makna : Makan sedikit untuk menahan lapar

2. Ambil Berat
    Makna : Memberi perhatian

3. Ambil Hati
    Makna : Menjaga perasaan

4. Anak Angkat
    Makna : Anak yang dipelihara seperti anak sendiri

5. Anak Buah
    Makna : Anak saudara/orang di bawah kuasanya

6. Anak Kandung
    Makna : Anak sendiri

7. Anak Tiri
    Makna : Anak suami atau isteri daripada perkahwinan terdahulu

8. Kaki Lima
    Makna : Kawasan laluan di hadapan bangunan

9. Kepala Batu/Keras Kepala
    Makna : Degil

10. Keras Hati
      Makna : Tidak mahu mengalah

11. Mandi Kerbau
      Makna : Mandi tidak bersih

12. Mandi Peluh
      Makna : Bekerja bersungguh-sungguh

13. Minta Diri
      Makna : Meminta izin untuk beredar

14. Mulut Murai/Banyak Mulut
      Makna : Orang yang suka bercakap banyak

15. Murah Hati
      Makna : Tidak kedekut

16. Otak Cair
      Makna : Cerdik

17. Sakit Hati
      Makna : Rasa marah

18. Sagu Hati
      Makna : Hadiah atau ganjaran

19. Tangkai Jering
      Makna : Sangat kedekut

20. Ulat Buku
      Makna : Suka membaca buku

Friday, 26 October 2012

Salam Aidiladha

Assalammualaikum,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua warga UPSI yang beragama Islam khususnya PPG/PJJ KOHORT 3.